Sabtu, 21 Mac 2009

Makna bacaan dalam solat

Takbiratul-Ihram & Takbir

Allah Maha Besar.


Doa Iftitah

Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
ibadatku,
hidupku,
matiku
adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.


Bacaan ketika rukuk

Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.


Bacaan ketika bangun dari rukuk

Allah mendengar pujian orang yang memujinya.


Bacaan ketika iktidal

Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.


Bacaan ketika sujud

Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.


Bacaan ketika duduk di antara dua sujud

Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.


Bacaan ketika Tahiyat Awal

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.


Bacaan ketika Tahiyat Akhir

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.


Doa Qunut

Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.


"wahai tuhan ku tak layak kesyurgamu ...namun tak pula aku sanggup
keNerakamu....kami lah hamba yang mengharap belas darimu ..."ya allah
jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami .kedua
ibubapa kami .dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal
dunia"

Cara-cara mengkhusyukkan solat

Cara-cara mengkhusyukkan solat ini dipetik daripada buku ‘Hidup Bertaqwa’ yang ditulis oleh Al-Ustaz Hj. Ismail Kamus. Marilah kita sama-sama renungkan dan amalkan semoga solat kita diterima olehNya, Insyaallah. Mudah-mudahan solat kita tidak menjadi kain buruk yang dilemparkan ke muka kita akibat tidak khusyuk.

1. Sentiasa melaksanakan solat secara berjemaah.
2. Menjaga makan minum terjamin halalnya.
3. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin.
4. Jangan bersolat dengan menangguh untuk membuang air besar atau air kecil dan perkemaskan segala urusan supaya tidak timbul kebimbangan dalam solat.
5. Mengambil wudhu’ dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota yang wajib serta mengingati niat atau doa apakala air melalui di tiap-tiap anggota.
6. Memakai pakaian yang bersih dan suci.
7. Tempat sujud dipastikan tiada gambar yang mengganggu fikiran.
8. Mengingati mati dan kemungkinan itu merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup.
9. Menyedari bahawa ia sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala rahsia hambaNya.
10. Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak geri kita.
11. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Quran dan segala zikir.
12. Sebelum mengangkat takbir, membaca surah An-Nas, salawat ke atas Nabi S.A.W., Istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan.
13. Memandang ke tempat sujud dan tidak terlalu banyak menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam solat.
14. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.
15. Memanjangkan sedikit tempoh semasa ruku’ dan sujud.
16. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan kita bersolat.
17. Jangan memandang ke kiri dan ke kanan.