Isnin, 7 Januari 2008

DOSA MENGUMPAT TIADA AMPUN....

Mengumpat bermaksud mencela, atau memburuk-burukkan orang lain ataupun menyiarkan kesalahan dan aib orang lain di belakangnya. Selalunya perkara ini dihubungkaitkan dengan kaum wanita, yang mana mungkin disebabkan perangai kaum wanita yang gemar atau suka bercakap atau berbual-bual. Walaupun begitu kaum lelaki juga sering terlibat dalam perkara ini.

Ada sesetengah orang beranggapan bahawa tidak dikatakan mengumpat, sekiranya apa yang dikatakan itu memang benar. Hal ini sebenarnya tidak tepat sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bermaksud:

Daripada Abu Hurairah berkata: "Katakan wahai Rasulullah apakah mengumpat itu?" Baginda bersabda: "(Mengumpat) adalah kamu menyebutkan tentang saudaramu sesuatu yang dibenci". Dia bertanya: "Beritahukanlah kalau pada dirinya terdapat apa yang aku katakan, maka kamu telah mengumpatnya dan kalau pada dirinya tidak terdapat apa yang kamu katakan, maka kamu telah membohonginya dengan dusta yang besar."

Tabiat atau penyakit mengumpat ini perlu dihindarkan kerana orang yang mengumpat itu terdedah kepada kemurkaan dan seksa Allah.

Larangan perbuatan ini amat jelas sebagaiman firman Allah:



Tafsirnya: "Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain..."
(Surah al-Hujarât:12)

Sementara balasan atau akibat daripada perbuatan mengumpat ini amat jelas sebagaimana hadis riwayat Abu Daud yang kira-kira bermaksud:

Pada malam aku di Isra'kan, aku melalui suatu kaum yang mencakar-cakar muka dengan kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: "Hai Jibril, siapa mereka ini?" Jawab Jibril: "Mereka ini adalah orang-orang yang suka mengumpat orang banyak dan mereka yang suka menjaga tepi kain orang."

Menurut riwayat yang lain bahawa mengumpat itu lebih dahsyat daripada melakukan zina, kerana orang yang berzina itu boleh bertaubat, sedangkan orang yang mengumpat, tidak akan diampunkan selama mana dia tidak diampunkan oleh orang yang telah diumpatnya tadi.

Perlu disedari bahawa mengumpat itu boleh menghapuskan kebajikan dan amal salih orang yang mengumpat kerana pahala dan amal salihnya akan diambil dan diberikan kepada orang yang diumpat. Jika habis kebajikannya, maka diambil kejahatan orang yang diumpat itu dan ditanggungkan kejahatan itu ke atasnya dan ditulis di dalam rekodnya.

Jadi seseorang itu hendaklah sentiasa melihat aib diri sendiri dan berusaha membersihkan dan merasa malu mencela orang lain, dikhuatiri dirinya sendiri mempunyai aib seperti orang itu atau mungkin lebih dahsyat lagi.

Hendaklah seseorang itu mencari punca yang membawanya mengumpat, supaya dia dapat membuang penyakit mengumpat itu daripada dirinya, dan wajiblah orang yang mengumpat itu bersegera bertaubat dan hendaklah juga dia bersegera meminta maaf daripada orang yang diumpatnya itu.

Di dalam sebuah hadis shahîh yang bermaksud: "Adalah datang perintah minta halalkan daripada perkara kezaliman yang telah dilakukan ke atas seseorang, sebelum tiba pada hari tiada berguna wang ringgit, emas dan perak, hanya di sana ditukar ganti, kebajikan dan pahala orang zalim itu diambil dan dibayar kepada orang yang kena zalim itu dan kejahatan dan dosa orang yang kena zalim itu dilonggokkan ke atas tengkuk orang zalim itu."

Oleh itu orang orang Islam digesa meminta maaf dari sekarang. Akan tetapi bagi orang yang tidak dapat dicari atau orang yang sudah meninggal, sayugialah banyak-banyak meminta ampun baginya dan mendoakannya dengan rahmat, keampunan dan belas kesihan daripada Allah Subhanahu wata'ala jua.

Begitu juga jauhi diri daripada bersifat tajassus atau mengintip serta mencari-cari keaiban dan keburukan orang lain yang tersembunyi sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang."
(Surah al-Hujarât:12)


Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud:

"Wahai golongan yang beriman dengan lisannya, tetapi tidak beriman dengan hatinya. Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan janganlah mengintip keaiban mereka, maka barang siapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya dan siapa yang diintip Allah akan keaibannya maka Allah akan membuka keaibannya walaupun dirahasiakan di lobang kenderaannya."
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Kita sepatutnya menutup aib sesama Muslim dan berhenti daripada menyebut-nyebut serta menyiarkannya, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: "Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah (menyiarkan) tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat."
(Surah an-Nûr:19)


Sabda Rasulullah Sallallhu 'alaihi wasallam lagi yang bermaksud:

"Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat.
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tidaklah seseorang itu banyak bercakap akan aib orang lain, menyebutkan kesalahan dan mendedahkan aib mereka melainkan orang itu orang munafiq yang terhina.

Jadi adalah wajib bagi setiap Muslim, menutup aib saudaranya dan malah hendaklah menasihatkan secara sulit, lemah lembut dan penuh hikmah kerana bimbang saudaranya itu akan ditimpa celaka dengan sebab perbuatannya itu.

Tiada ulasan: