Adakah Negara Khilafah Penjajah?
[SN455] Kebelakangan ini perbincangan mengenai idea negara Khilafah sudah semakin mendapat tempat, baik dalam kalangan Muslim mahupun non-Muslim di Malaysia. Walaupun ada yang memandangnya dari sudut negatif, ternyata itu hanyalah lahir sama ada dari sifat dengki, kejahilan ataupun kekeliruan dalam mengkaji atau memahami realiti Negara Islam tersebut. Lebih negatif jika ada pihak-pihak tertentu melakukan rujukan atau meletakkan standard perbincangan Khilafah kepada pertubuhan militan ISIS atau membincangkannya dari kaca mata Barat yang memusuhi Islam. Kedua-dua faktor ini akan merosakkan perbincangan dan kefahaman yang benar tentang Khilafah. Ramai intelektual yang suka membincangkan era Kekhilafahan Uthmaniyyah yang berakhir pada 1924, kerana banyak faktor menarik di zaman tersebut, di samping sejarahnya yang lebih dekat dengan masa kini. Selain motif jahat dan kekeliruan, salah satu faktor kesalahan dalam membincangkan hal ini ialah apabila hanya memaparkan sisi buruk yang ada semasa pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah dengan meninggalkan sisi baiknya. Sama halnya dengan perbincangan yang gagal membezakan di antara “sistem pemerintahan (Khilafah)” dan “pemerintah (Khalifah)” yang melaksanakan sistem tersebut yang akhirnya berkesimpulan menyalahkan “agama Islam” hasil daripada kesalahan atau kesilapan yang dilakukan oleh “pemerintah” yang menerapkannya. Menghukum sistem Islam dengan melihat sisi buruk pelaksanaannya (oleh manusia) merupakan suatu yang tidak adil dan berniat jahat. Ia sama seperti menilai bahawa Islam itu tidak adil kerana pemerintah Malaysia mengenakan GST kepada rakyat, menaikkan harga barangan, menaikkan tol, mendapat derma peribadi sebanyak RM2.6 bilion dan lain-lain, walhal Islam mengharamkan semua hal tersebut!
Mana-mana Muslim yang celik politik akan tahu bahawa jatuhnya Khilafah pada 1924 adalah hasil persekongkolan antara Mustafa Kamal dan kuffar British laknatullah. Malah, sesiapa sahaja yang mengkaji sejarah pun akan tahu bagaimana kebencian Yahudi dan Nasrani terhadap Islam sehingga telah mencetuskan peperangan dan penjajahan ke atas wilayah Islam yang berlarutan sehingga kini. Setiap Muslim tahu bahawa permusuhan di antara Islam dan kafir telah terjadi sejak zaman Rasulullah SAW diutus lagi. Tatkala kaum Muslimin mempunyai sebuah negara, setelah tertegaknya Negara Islam yang pertama di Madinah, sehinggalah 1300 kemudian di zaman Khilafah Uthmaniyyah, peperangan demi peperangan terjadi tanpa henti antara Negara Islam dan Negara Kafir. Sesungguhnya permusuhan antara keimanan dan kekafiran ini merupakan sunnatullah yang akan berlangsung hingga Kiamat. Cuma apa yang perlu difahami di sini ialah perbezaan mendasar antara sebab-sebab peperangan dan penjajahan dalam pandangan Islam dan dalam pandangan kaum kafir agar kita mencapai satu kesimpulan yang sahih dalam melihat dan menilai suatu peristiwa dan realiti.
Futuhat vs Penjajahan
Bagi mereka yang dengki dan keliru, ada yang mengatakan bahawa tidak ada bezanya antara penjajahan Barat dan Islam. Malah mereka tanpa segan silu dan usul periksa terus menuduh yang Negara Khilafah juga adalah negara penjajah dan negara yang menzalimi orang-orang kafir yang ada di dalamnya. Lebih jauh, mereka menuduh kedua-duanya menggunakan kekerasan, menumpahkan darah, merompak, merampas dan mengeksploitasi negara yang dijajahnya. Dalam perspektif ini, mereka kemudian menuduh agama sebagai sumber konflik dan kekacauan di dunia, lalu mereka menyerukan kepada idea-idea sejagat seperti perdamaian dan hak asasi manusia dan hak menentukan diri sendiri (self-determination). Ringkasnya, mereka menyamakan antara penjajahan Barat dan Islam dengan menuduh Negara Khilafah sebagai penjajah yang tiada beza dengan Barat mahupun Timur dari segi kekejamannya.
Sesungguhnya Islam tidak pernah menjajah mana-mana negara dan tuduhan bahawa Khilafah adalah negara penjajah sungguh jauh tersasar dari realiti, apatah lagi dari segi hukum. Dalam kamus Islam, tidak ada istilah isti’mar (penjajahan) tetapi yang ada ialah futuhat (pembukaan). Penjajahan dan futuhatmerupakan dua hal yang berbeza. Futuhat memang tidak dapat dipisahkan daripada aktiviti yang mulia iaitu jihad fi sabilillah kerana dengan jihadlah berlakunya futuhat. Jihad futuhat yang dilakukan oleh negara adalah bermotifkan keinginan untuk melaksanakan perintah Allah SWT. Malah, kemurnian atau keikhlasan melaksanakan motif ini menjadi penentu apakah amalan seseorang itu diterima atau tidak oleh Allah SWT. Oleh itu, jihad yang dilakukan dengan benar dan ikhlas semata-mata kerana Allah, sudah pasti tidak akan disertai dengan kehendak hawa nafsu yang cenderung kepada harta benda duniawi atau kerosakan harta benda atau pembunuhan tanpa hak. Hal ini sahaja sudah cukup untuk membezakan futuhat dengan penjajahan yang dilakukan oleh kaum kafir yang tidak berdasarkan agama, tetapi berdasarkan akal dan hawa nafsu mereka semata-mata.
Deen Islam bersumber dari Allah SWT, Pencipta manusia, alam dan kehidupan, Pengatur segalanya dan Pemberi rahmat. Penerapan hukum Allah di muka bumi akan pasti membawa rahmat dan kebaikan kepada manusia (tidak kira Muslim atau kafir), haiwan, tumbuh-tumbuhan mahupun alam semesta secara umumnya. Atas dasar ini, futuhat dilakukan bagi memastikan dunia diurus-tadbir dengan aturanNya, menggantikan hukum buatan manusia yang penuh dengan ketidakadilan, kezaliman dan kerosakan. Oleh sebab itu, tujuan futuhat tidak ada hubungan dengan keinginan untuk merampas dan mengeksploitasi bangsa lain serta mendapatkan kedudukan untuk mendominasi manusia lain atau menindas bangsa lain. Tidak ada sama sekali. Tujuan futuhat adalah semata-mata untuk menerapkan hukum Allah yang penuh dengan kebaikan dan rahmat di negara yang difutuhat itu sehingga Islam sebagai agama yang membawa kebaikan dapat dirasai dan dinikmati kebaikannya oleh siapa pun tanpa ada yang menghalanginya. Futuhatsekali gus akan menggabungkan negeri yang baru dibuka itu ke dalam Daulah Islam.
Sedangkan penjajahan (imperialisme/kolonialisme) merupakan strategi atau polisi luar negeri yang sering ditempuh oleh negara-negara penjajah, khususnya penganut ideologi Kapitalis dan Sosialis untuk merompak sumber alam, membuka peluang baru bagi penanaman modal, menemukan pasar baru bagi kelebihan produksi yang tidak dapat dijual di dalam negara, serta memastikan keamanan untuk proses kemasukan bahan mentah murah bagi melestarikan proses produksi dalam negeri. Imperialisme ini kemudian menimbulkan hubungan superior-inferior di mana negara-negara penjajah menganggap diri mereka sebagai tuan, sementara negara yang dijajah adalah hamba yang mesti tunduk kepada apa sahaja perintah tuannya.
Motif dan tujuan yang berbeza antara futuhat dan penjajahan sudah tentu melahirkan cara yang berbeza pula. Motif dan tujuan yang didasarkan pada keserakahan hawa nafsu manusia seperti dalam ideologi Kapitalisme telah membuatkan penganut ideologi ini menghalalkan segala cara untuk meraih tujuan. Bagi mereka, penipuan, pembohongan, perampasan, malah sampai ke tahap pembantaian umat manusia adalah sah sahaja untuk dilakukan dalam rangka mencapai tujuannya. Justeru, kita menyaksikan bagaimana sejarah negara penjajah seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan lain-lain yang tanpa rasa bersalah dan belas kasihan sedikit pun melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas negara yang dijajah mereka, khususnya negara umat Islam. Apatah lagi dengan motif permusuhan dan kebencian mereka terhadap umat Islam dan Negara Khilafah yang menjadi penjaga kaum Muslimin, maka mereka sanggup melakukan apa sahaja yang tidak pernah terfikir oleh Firaun sekalipun, dalam usaha mereka menghapuskan Islam dan kaum Muslimin.
Dalam sejarah kolonialisme Barat, sudah tidak terhitung jumlah korban dan kemusnahan alam serta harta benda di wilayah yang dijajah. Perang Dunia I dan II saja memakan jutaan jiwa dan penderitaan luar biasa bagi mereka yang hidup. Dua bom atom yang dijatuhkan di Jepun membunuh lebih dari tiga juta jiwa penduduk. Perang Dingin dan perang melawan terorisme yang dipimpin oleh AS juga telah meragut jutaan korban awam yang tidak berdosa. Dalam Perang Vietnam, AS menumpahkan 19 juta gelen senjata kimia berbahaya, agen orange yang telah memusnahkan 4.5 juta ekar tumbuhan dan meragut nyawa serta membawa penyakit berbahaya kepada manusia. Ribuan kaum Muslimin di Iraq dan Afghanistan dibunuh atas dasar perang melawan terorisme yang penuh kebohongan. Embargo yang ditaja oleh AS telah membunuh lebih dari 1.5 juta rakyat Iraq dan banyak lagi kejahatan dan kemusnahan yang timbul dari penjajahan Barat.
Hal ini sangat berbeza dengan Islam yang melakukan jihad dan futuhat atas dasar petunjuk Allah SWT. Ada aktiviti yang wajib dilakukan sebelum perang, yakni mengajak penduduk wilayah kafir harbi itu terlebih dahulu memeluk Islam. Jika tidak mahu, maka mereka ditawarkan masuk dalam kekuasaan Khilafah seraya membayar jizyah dan tetap pada agama mereka. Jika pilihan kedua ini pun ditolak, maka perang merupakan pilihan terakhir. Perlu dicatat bahawa perang dalam rangka futuhat ini bukanlah perang sebagaimana yang dilakukan kuffar Barat. Ia sekadar perang bagi menghilangkan penghalang fizikal dari masuknya Islam ke negara tersebut. Dalam peperangan, Islam melarang membunuh orang-orang yang bukan tentera seperti anak-anak kecil, wanita, orang tua dan para rahib di gereja. Islam juga tidak membenarkan merosakkan bangunan dan pepohonan. Malah, tawanan perang juga diperlakukan dengan baik.
Berbeza halnya dengan penjajahan negara-negara imperialis. Hampir keseluruhan rakyat tempatan menganggap mereka adalah penjajah. Malaysia sebagai contoh, sampai bila pun akan menganggap British dan Jepun adalah penjajah. Begitu juga dengan Indonesia, sampai bila pun akan menganggap Belanda sebagai penjajah. Rakyat Algeria akan abadi menganggap Perancis sebagai penjajah. Itali pun sampai sekarang tetap dianggap penjajah oleh rakyat Libya. Sama seperti warga Iraq dan Afghanistan yang kini dengan jelas menganggap AS sebagai penjajah. Jika ada yang gembira dengan kedatangan penjajah tersebut, jumlah mereka sangat sedikit dan pada umumnya mereka adalah pengkhianat Islam yang hanya inginkan harta dan kekuasaan.
Bukan sekadar itu, penduduk tempatan malah membenci dan memberontak untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah tersebut, tidak menerima agama penjajah dan kepimpinan mereka. Berbeza dengan futuhatyang dilakukan oleh Khilafah di mana penduduk tempatan bukan sekadar berduyun-duyun memeluk Islam, malah menjadi pendakwah dan pejuang Islam yang terkenal dan melahirkan generasi Islam sehingga kini. Kerana itulah, pendapat yang cuba menyerang Negara Khilafah dengan menyatakan bahawa Khalifah melakukan diskriminasi terhadap rakyatnya yang kafir dan memaksa mereka memeluk Islam, hal ini juga jauh tersasar dari realiti dan juga hukum Islam.
Sebaliknya, sudah terkenal dalam sejarah bagaimana keadilan sistem Islam menyebabkan ramai orang kafir masuk Islam. Di zaman Ali, seorang Yahudi memeluk Islam setelah dia dibebaskan dari tuduhan mencuri baju Ali bin Abi Thalib yang merupakan Khalifah ketika itu, semata-mata kerana Ali tidak mempunyai cukup bukti untuk menuduhnya. Begitu juga dengan Umar bin al-Khattab (ketika menjadi khalifah) pernah memulangkan semula tanah milik Yahudi yang dirampas untuk dibangun masjid di atasnya. Umar memerintahkan agar masjid itu dirobohkan dan tanah itu dikembalikan kepada Yahudi. Fakta kebaikan sang Khalifah di sini bukankah semata-mata kerana keluhuran pekerti pemimpin itu secara individu, tetapi kerana penerapan aturan Islam tentang hukum-hukum ahlu dzimmah di dalam Negara Khilafah.
Islam melarang penganutnya untuk menyakiti ahlu dzimmah (warganegara non-Muslim dalam Khilafah yang tunduk kepada pemerintahan Islam dengan membayar jizyah). Rasulullah SAW sangat memperhatikan perlakuan Muslim terhadap ahlu dzimmah agar mereka tidak disakiti dan dizalimi. Terlalu banyak hadis yang membicarakan hal ini. Manakala jizyah yang dikenakan kepada mereka juga bukanlah merupakan satu beban kepada mereka kerana hanya dikenakan ke atas dzimmi yang lelaki, dewasa dan mampu sahaja. Tercatat dalam lembaran sejarah Islam bahawa Umar al-Khattab (sebagai Khalifah) pernah membebaskan seorang Yahudi tua yang tidak mampu lagi membayar jizyah, bahkan Umar memerintahkan agar pengurus Baitul Mal untuk menyantuni Yahudi tersebut dari harta Baitul Mal. Justeru, tidak masuk akal jika ada tuduhan bahawa kafir dzimmi terpaksa memeluk Islam kerana ingin mengelak jizyah yang tinggi yang dikenakan kepada mereka!
Begitu juga jika dilihat dari sisi bagaimana ibu kota Khilafah bertukar dari satu bandar ke bandar lain, yang membuktikan perbezaan di antara futuhat dan penjajahan. Syria yang sebelum kedatangan Islam berada di bawah empayar Rom, kemudian difutuhat oleh Khalid al-Walid semasa zaman Khulafa ar-Rashidin. Ibu kota Khilafah dipindahkan dari Madinah ke Damsyik, semasa pemerintahan Khilafah Ummayyah. Manakala Iraq yang berada di bawah empayar Parsi sebelum difutuhat pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, semasa pemerintahan Khilafah Abbasiyyah, ibu kota Khilafah dipindahkan dari Damsyik ke Baghdad. Begitu juga dengan Constantinople (Istanbul) yang pernah menjadi pusat empayar Rom Timur (Byzantine), namun setelah Muhammad al-Fatih membuka (futuhat) Constantinople pada tahun 1453 M, ibu kota Khilafah Uthmaniyyah kemudiannya dipindahkan dari kota Edirne ke Istanbul.
Sebaliknya apabila negara-negara imperialis Eropah seperti Sepanyol, Portugal, British, Belanda dan Perancis menjajah negara lain, negara-negara yang dijajah tidak pernah dijadikan ibu kota empayar tersebut. British tidak pernah menjadikan New Delhi atau Kaherah sebagai ibu kotanya. Perancis tidak menjadikan mana-mana kawasan Afrika Utara sebagai ibu kotanya dan Belanda tidak pernah menjadikan Jakarta sebagai pusat pemerintahan mereka. Kerana itulah, selain perbezaan yang jelas antara futuhat dan penjajahan, Khilafah Islamiyyah juga bukanlah berkonsepkan sebuah empayar yang membezakan di antara kekuasaan dan pusat pemerintahan negara yang menakluki dengan negara yang ditakluki.
Khatimah
Usaha untuk menegakkan kembali Khilafah dengan menggabungkan negeri-negeri kaum Muslimin bukanlah soal ingin membentuk kekuatan untuk memerangi musuh semata-mata sebagaimana tuduhan sesetengah pihak, tetapi ia adalah soal kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ia adalah sebuah kewajipan yang akan membawa kebaikan kepada seluruh umat manusia (baik Muslim mahupun non-Muslim), alam dan kehidupan. Hal ini sudah pun terbukti sejak zaman pemerintahan Rasulullah SAW di Madinah, Khulafa’ al-Rasyidin, Khilafah Umayyah, Abbasiyyah dan juga Uthmaniyyah. Sesungguhnya, sebarang usaha dan niat jahat untuk memburukkan Islam dan Khilafah itu tidak akan berhasil kerana Allah SWT akan pasti menjaga dan memberi kemenangan kepada agamaNya melalui tangan-tangan mereka yang ikhlas dan bersungguh-sungguh berusaha untuk meraihnya. Wallahu a’lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan